Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Sabtu, 18 April 2009

Kemiskinan bukan halangan...

Nik Nur Madhihah Pelajar Cemerlang SPM 2008



Kemiskinan tidak menghalang adik Madhihah utk berjaya

Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.

Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.

Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.

Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.

Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.

Nik Nur Madihah pilih Jordan lanjutkan pelajaran

KUALA LUMPUR – Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Muhd. Kamal, 18, memilih Jordan untuk melanjutkan pelajaran di bawah biasiswa Bank Negara Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah melakukan solat Istikharah dengan memilih bidang Fizik Islam.

“Saya akan berlepas ke sana pada bulan Ogos atau September ini.

“Buat masa ini saya sedang membuat penyelidikan bersama pihak Bank Negara untuk memilih universiti terbaik dalam bidang Fizik Islam,” katanya.

Nik Nur Madihah berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku kisah hidupnya bertajuk Catatan Hati Nik Nur Madihah terbitan Hijjaz Records Publishing (HRP) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah ibu dan bapanya, Mariyani Omar dan Nik Muhd. Kamal Husin.

Nik Nur Madihah yang fasih berbahasa Arab memberitahu, dia masih tidak percaya kisah hidupnya dibukukan dan berharap pembaca akan mengambil ilmu dalam buku itu sebagai pengajaran dalam hidup.

Buku berharga RM25.90 itu akan mula dijual hari ini dan ia diterbitkan oleh Pengurus HRP, Faizal Osman dengan dibantu oleh Ummu Hani Abu Hassan.

semoga kejayaannya mampu menanamkan semangat untuk kita lebih berusaha dalam mencapai cita-cita. kemiskinan dan kemiskinan bukan halangan jika kita mahu mendapatkannya...yakinlah dengan pertolongan Allah, usaha itu tangga kejayaan

Usaha + Doa + Tawakkal = Kejayaan

Madhihah membuktikan yang agama bukan penghalang untuk mencapai apa yang diimpikan...semoga suatu hari nanti dia akan menjadi ahli fizik Islam yang dapat memperjuangkan agama Islam dalam kekalutan dunia kini.

tahniah kpd Madhihah...semoga berjaya menjadi mukminin sejati




Baca seterusnya......

Khamis, 16 April 2009

Jalan yang kamu pilih


Bayangkan...

Kamu sedang menuntut ilmu dengan seorang guru. Untuk pelajaran terakhir, kamu dikehendaki meredah hutan untuk sampai ke sebuah destinasi. Jika kamu sampai di sana, kamu akan memperoleh ganjaran yang banyak. Namun gurumu menyuruhmu berpatah balik jika kamu rasa tidak mampu melakukannya. Tapi, kamu akan gagal! Kamu meneruskan perjalanan di dalam hutan tersebut. Dalam perjalanan tiba-tiba kamu terjumpa seutas rantai emas. Begitu cantik, begitu mempesona...kamu yakin harganya begitu mahal sekiranya dijual kelak. Dalam kemilau sinarnya kamu keliru, adakah ingin mengambilnya atau membiarkan sahaja ia di situ. Terlintas di fikiran, alangkah ruginya benda berharga sebegitu dibiarkan sahaja di hutan sunyi sebegitu...lantas kamu mengambilnya. Kamu terus berjalan...dalam benakmu terbayang, adakah perbuatanmu itu wajar.

Tiba-tiba, sedang kamu menyusur hutan, kamu terjumpa pula sebilah kapak emas. Kamu tersenyum penuh makna. Mungkin inilah habuan yang dijanjikan guru kamu. Kamu nekad meneruskan perjalanan. Sedang berjalan, kamu terpandang di hadapanmu...hutan buluh yang belum terusik, kamu gagahi jua menempuh hutan buluh itu kerana membayangkan benda berharga yang bakal kamu terjumpa nanti. Apabila berjaya meredahnya, kamu terjumpa pula sekotak berlian yang berkilau-kilauan. Kamu bersorak gembira...mungkin inilah berkat kepatuhanmu selama ini ketika berguru. Tanpa kamu sedari, semua itu sebenarnya milik gurumu tadi. Sengaja diletakkan di situ untuk melihat sejauh mana kamu bertindak balas dengan harta dunia. Terpedaya jua dirimu akhirnya.


Kamu terus meneruskan perjalanan. Tapi alangkah terkejutnya dirimu, apabila di hadapanmu kini ialah pasir lumpur yang akan menelanmu sekiranya tersalah langkah...Kamu termenung, adakah mahu diteruskan perjalan ke hadapan atau pun berundur ke belakang. Relakah kamu memusnahkan dirimu sendiri? Jika mara, maut sebagai galang ganti...jika berundur, kamu akan rugi! Apabila terpandang mahligai tersergam indah di seberang lautan pasir lumpur...kamu merasa kamulah insan yang menolak tuah sekiranya tidak mara...tapi, bila difikirkan hidupmu hanya sekali...kamu gentar untuk meneruskannya.

Lantas, kamu bersandar di perdu pohon...sambil menelititi barang-barang berharga yang kamu telah miliki. Sesekali, pandanganmu teralih ke mahligai indah di seberang sana. Cubaan apakah ini? Mahal sangatkah harga sebuah kejayaan, hingga perlu dibayar dengan nyawa? Betapa zalimnya gurumu itu....syarat untuk lulus yang begitu menyeksa jiwa. Kamu termenung dan terus termenung. Akhirnya kamu bangkit, bukannya terus maju ke hadapan...tapi kamu berpatah balik ! Sambil tersenyum, kamu melangkah pulang ke rumah gurumu...kamu sudah bersedia menghadapi kegagalan...biarkan gurumu marah, kamu sudah tidak peduli. Hak perlu ditegakkan, gurumu bukan Tuhan!

Alangkah pelik, setibanya di rumah gurumu...kamu disambut dengan pelukan dan senyum terukir indah dibibirnya. Malah ucapan tahniah yang terpancul dari bibirnya. Adakah itu satu penghinaan? Atau memang ikhlas seperti sifatnya?

“Maafkan saya Tuk, saya telah memilih kegagalan”. Ujarmu jujur.
“Tahniah, kamu telah berjaya....” Jawabnya senang sambil menggosok belakangmu.
“ Berjaya?”. Soalmu hairan.

“ Tenang anakku...biar Tuk jelaskan. Tidak semestinya kegagalan kita adalah kegagalan. Pada zahirnya, kita memang gagal...tapi pada batinnya, kita ialah juara. Ramai murid Tuk yang tamak, mereka telah gagal untuk mencari setitis sinar iman dalam hatinya. Mana mungkin mereka mampu menyeberang pasir lumpur itu. Kamulah satu-satunya yang telah kembali...datuk senang sekali. Kamu tidak tertarik dengan harta dunia”. Gurumu berhenti seketika.

“Pada mulanya datuk yakin, kamu juga mengambil apa yang bukan milikmu di jalanan tersebut. Tapi akhirnya, kamu sedar yang kamu telah melakukan kesilapan...lalu mengembalikan semuanya ke tempat asalnya. Kamu berani menghadapi kegagalan dengan pulang kembali...tapi kamu sebenarnya telah berjaya. Ketahuilah anakku, harta dan kesenangan dunia yang diperoleh dengan cara yang salah sekali-kali tidakkan mempu membayar singgahsanamu di syurga kelak walau bertimbun banyaknya”. Sambungnya lagi.

Begitulah umpamanya ujian iman yang selalu Allah timpakan ke atas diri kita. Allah tidak membebankan seseorang melainkan di atas kesanggupannya...hadapilah ia dengan iman dan takwa, kerana ia adalah penentu kejayaan kita yang sebenar. Usah sedih bila kegagalan menimpa, kerana tiada manusia yang beriman yang tidak diuji.


Sesuatu yang selalu membuat kita sedih...
 Kita sedih bila kita dikeji dan dihina kerana tidak mengikut arus pemodenan dunia, tapi sebenarnya Allah lebih sayangkan kita bila kita tidak tersasar jauh untuk mencapai tahap moden.
 Betapa kita sedih kerana kita gagal dalam memiliki sesuatu yang kita idamkan dan kita hajatkan. Sebenarnya itu semua adalah lebih baik dari kita memiliknya dengan cara yang salah.  Kita malu untuk mengaku kita salah, sedangkan itulah yang terbaik dalam menjamin kehidupan yang lebih baik.
 Kita gagal dalam peperiksaan setelah mencuba sedaya upaya kerana ujiannya terlampau sukar. Tapi kita terkilan kerana semua kawan kita berjaya kerana meniru. Sebenarnya, kita jauh lebih berjaya dari mereka dalam ujian nafsu.

Begitulah yang dialami si pemuda, dia menolak segala hak yang bukan miliknya walaupun kegagalan adalah gantinya... Tapi, dia yakin itu adalah yang terbaik untuk mendapatkan keredhaan Tuhan. Setelah tahu dia mengambil yang bukan haknya dan melakukan sesuatu yang silap, dia kembali ke pangkal jalan...menyesali apa yang telah berlaku. Jika dia meneruskan perjalanan tersebut, adakah jaminan untuk dia terus hidup?


Moralnya:
 Kegagalan akan membantu kita mencari di mana kesilapan diri

 Nilai sebuah kejayaan akan menjadi lebih manis bagi mereka yang pernah menghadapi kegagalan.

 Kasih-sayang Allah lebih bernilai dari kesenangan dunia.
 Sesuatu kesenangan yang diperoleh oleh orang kaya dengan cara yang salah adalah lebih hina dari si fakir yang mereka anggap hina di tepi-tepi jalan.
 Belajarlah menerima kekalahan, kerana kalah di dunia belum tentu kalah di akhirat


Apakah yang lebih penting, nikmat dunia ataupun nikmat akhirat?


Baca seterusnya......