Khamis, 16 April 2009

Jalan yang kamu pilih


Bayangkan...

Kamu sedang menuntut ilmu dengan seorang guru. Untuk pelajaran terakhir, kamu dikehendaki meredah hutan untuk sampai ke sebuah destinasi. Jika kamu sampai di sana, kamu akan memperoleh ganjaran yang banyak. Namun gurumu menyuruhmu berpatah balik jika kamu rasa tidak mampu melakukannya. Tapi, kamu akan gagal! Kamu meneruskan perjalanan di dalam hutan tersebut. Dalam perjalanan tiba-tiba kamu terjumpa seutas rantai emas. Begitu cantik, begitu mempesona...kamu yakin harganya begitu mahal sekiranya dijual kelak. Dalam kemilau sinarnya kamu keliru, adakah ingin mengambilnya atau membiarkan sahaja ia di situ. Terlintas di fikiran, alangkah ruginya benda berharga sebegitu dibiarkan sahaja di hutan sunyi sebegitu...lantas kamu mengambilnya. Kamu terus berjalan...dalam benakmu terbayang, adakah perbuatanmu itu wajar.

Tiba-tiba, sedang kamu menyusur hutan, kamu terjumpa pula sebilah kapak emas. Kamu tersenyum penuh makna. Mungkin inilah habuan yang dijanjikan guru kamu. Kamu nekad meneruskan perjalanan. Sedang berjalan, kamu terpandang di hadapanmu...hutan buluh yang belum terusik, kamu gagahi jua menempuh hutan buluh itu kerana membayangkan benda berharga yang bakal kamu terjumpa nanti. Apabila berjaya meredahnya, kamu terjumpa pula sekotak berlian yang berkilau-kilauan. Kamu bersorak gembira...mungkin inilah berkat kepatuhanmu selama ini ketika berguru. Tanpa kamu sedari, semua itu sebenarnya milik gurumu tadi. Sengaja diletakkan di situ untuk melihat sejauh mana kamu bertindak balas dengan harta dunia. Terpedaya jua dirimu akhirnya.


Kamu terus meneruskan perjalanan. Tapi alangkah terkejutnya dirimu, apabila di hadapanmu kini ialah pasir lumpur yang akan menelanmu sekiranya tersalah langkah...Kamu termenung, adakah mahu diteruskan perjalan ke hadapan atau pun berundur ke belakang. Relakah kamu memusnahkan dirimu sendiri? Jika mara, maut sebagai galang ganti...jika berundur, kamu akan rugi! Apabila terpandang mahligai tersergam indah di seberang lautan pasir lumpur...kamu merasa kamulah insan yang menolak tuah sekiranya tidak mara...tapi, bila difikirkan hidupmu hanya sekali...kamu gentar untuk meneruskannya.

Lantas, kamu bersandar di perdu pohon...sambil menelititi barang-barang berharga yang kamu telah miliki. Sesekali, pandanganmu teralih ke mahligai indah di seberang sana. Cubaan apakah ini? Mahal sangatkah harga sebuah kejayaan, hingga perlu dibayar dengan nyawa? Betapa zalimnya gurumu itu....syarat untuk lulus yang begitu menyeksa jiwa. Kamu termenung dan terus termenung. Akhirnya kamu bangkit, bukannya terus maju ke hadapan...tapi kamu berpatah balik ! Sambil tersenyum, kamu melangkah pulang ke rumah gurumu...kamu sudah bersedia menghadapi kegagalan...biarkan gurumu marah, kamu sudah tidak peduli. Hak perlu ditegakkan, gurumu bukan Tuhan!

Alangkah pelik, setibanya di rumah gurumu...kamu disambut dengan pelukan dan senyum terukir indah dibibirnya. Malah ucapan tahniah yang terpancul dari bibirnya. Adakah itu satu penghinaan? Atau memang ikhlas seperti sifatnya?

“Maafkan saya Tuk, saya telah memilih kegagalan”. Ujarmu jujur.
“Tahniah, kamu telah berjaya....” Jawabnya senang sambil menggosok belakangmu.
“ Berjaya?”. Soalmu hairan.

“ Tenang anakku...biar Tuk jelaskan. Tidak semestinya kegagalan kita adalah kegagalan. Pada zahirnya, kita memang gagal...tapi pada batinnya, kita ialah juara. Ramai murid Tuk yang tamak, mereka telah gagal untuk mencari setitis sinar iman dalam hatinya. Mana mungkin mereka mampu menyeberang pasir lumpur itu. Kamulah satu-satunya yang telah kembali...datuk senang sekali. Kamu tidak tertarik dengan harta dunia”. Gurumu berhenti seketika.

“Pada mulanya datuk yakin, kamu juga mengambil apa yang bukan milikmu di jalanan tersebut. Tapi akhirnya, kamu sedar yang kamu telah melakukan kesilapan...lalu mengembalikan semuanya ke tempat asalnya. Kamu berani menghadapi kegagalan dengan pulang kembali...tapi kamu sebenarnya telah berjaya. Ketahuilah anakku, harta dan kesenangan dunia yang diperoleh dengan cara yang salah sekali-kali tidakkan mempu membayar singgahsanamu di syurga kelak walau bertimbun banyaknya”. Sambungnya lagi.

Begitulah umpamanya ujian iman yang selalu Allah timpakan ke atas diri kita. Allah tidak membebankan seseorang melainkan di atas kesanggupannya...hadapilah ia dengan iman dan takwa, kerana ia adalah penentu kejayaan kita yang sebenar. Usah sedih bila kegagalan menimpa, kerana tiada manusia yang beriman yang tidak diuji.


Sesuatu yang selalu membuat kita sedih...
 Kita sedih bila kita dikeji dan dihina kerana tidak mengikut arus pemodenan dunia, tapi sebenarnya Allah lebih sayangkan kita bila kita tidak tersasar jauh untuk mencapai tahap moden.
 Betapa kita sedih kerana kita gagal dalam memiliki sesuatu yang kita idamkan dan kita hajatkan. Sebenarnya itu semua adalah lebih baik dari kita memiliknya dengan cara yang salah.  Kita malu untuk mengaku kita salah, sedangkan itulah yang terbaik dalam menjamin kehidupan yang lebih baik.
 Kita gagal dalam peperiksaan setelah mencuba sedaya upaya kerana ujiannya terlampau sukar. Tapi kita terkilan kerana semua kawan kita berjaya kerana meniru. Sebenarnya, kita jauh lebih berjaya dari mereka dalam ujian nafsu.

Begitulah yang dialami si pemuda, dia menolak segala hak yang bukan miliknya walaupun kegagalan adalah gantinya... Tapi, dia yakin itu adalah yang terbaik untuk mendapatkan keredhaan Tuhan. Setelah tahu dia mengambil yang bukan haknya dan melakukan sesuatu yang silap, dia kembali ke pangkal jalan...menyesali apa yang telah berlaku. Jika dia meneruskan perjalanan tersebut, adakah jaminan untuk dia terus hidup?


Moralnya:
 Kegagalan akan membantu kita mencari di mana kesilapan diri

 Nilai sebuah kejayaan akan menjadi lebih manis bagi mereka yang pernah menghadapi kegagalan.

 Kasih-sayang Allah lebih bernilai dari kesenangan dunia.
 Sesuatu kesenangan yang diperoleh oleh orang kaya dengan cara yang salah adalah lebih hina dari si fakir yang mereka anggap hina di tepi-tepi jalan.
 Belajarlah menerima kekalahan, kerana kalah di dunia belum tentu kalah di akhirat


Apakah yang lebih penting, nikmat dunia ataupun nikmat akhirat?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan